Jumaat, 27 September 2019 | 4:40pm
Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menahan warga asing ketika operasi mencegah aktiviti kebakaran tanah gambut Johan Setia yang membawa peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia. - Foto Saddam Yusoff

7 pemilik tanah lot pertanian di Johan Setia diberi notis pelanggaran syarat

KLANG: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang mengeluarkan notis pelanggaran syarat (7A) terhadap tujuh pemilik tanah lot pertanian di Johan Setia, di sini, sepanjang tempoh masalah jerebu melanda, bulan ini.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pengurusan Tanah PDT Klang, Mohd Shahrizal Mohd Salleh, berkata notis itu dikeluarkan selepas pemilik terbabit didapati membenarkan pembakaran terbuka berlaku di tanah mereka.

Beliau berkata, penerima notis diberi tempoh hingga tiga bulan bagi memulihkan pelanggaran syarat yang dilakukan.

“Jika pemilik tanah terbabit gagal memberi penjelasan mengenai pelanggaran syarat yang dilakukan, kita akan mengeluarkan notis 7B.

“Notis 7B merujuk kesalahan melanggar syarat yang memerlukan pemilik tanah hadir ke PDT untuk siasatan dan menjelaskan mengapa tanah berkenaan tidak boleh dirampas menjadi hak kerajaan.

“Dalam tempoh siasatan, pemilik perlu mengemukakan alasan. Jika pemilik gagal mematuhi, kita akan merampas tanah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu mencegah aktiviti kebakaran tanah gambut di Johan Setia, semalam.

Seramai 74 anggota daripada tujuh agensi terbabit dalam operasi itu, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Pelabuhan Klang; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan; Jabatan Alam Sekitar (JAS); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Sementara itu, operasi semalam tidak menemukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, namun empat warga asing yang dipercayai menjadikan tanah pertanian di Johan Setia sebagai penempatan dan bekerja di situ, ditahan Jabatan Imigresen.

“Daripada 35 warga asing yang diperiksa, empat warga Myanmar didapati tamat tempoh pas pekerja dan pas lawatan.

“Mereka juga didapati bekerja dengan menanam sayuran kontan untuk dijual kepada penduduk setempat,” katanya.

Berita Harian X