Jumaat, 27 September 2019 | 4:30pm
KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. NSTP/Khairunisah Lokman

Polis tangkap jika cuba merusuh

KANGAR: Polis sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk rusuhan selepas Mahkamah Koroner Shah Alam mengumumkan keputusan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan semalam, sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Walau bagaimanapun, saya yakin insiden terbabit tidak akan berlaku dan sekiranya terjadi, tahulah kami nak ambil tindakan.

“Saya tak faham kenapa orang kena ambil tindakan, jadi ganas dan mahu protes. Terima sajalah keputusan koroner dan biar pihak berkaitan ambil tindakan sepenuhnya. Jika ada yang merusuh, saya akan tangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2019 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, hari ini.

Koroner Rofiah Mohamad, hari ini, memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Berita Harian X