Jumaat, 27 September 2019 | 3:55pm
PENGARAH Jabatan Siasat Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. NSTP/Danial Saad

Siasatan kes Muhammad Adib tidak pernah dihentikan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan terhadap kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak pernah dihentikan dan masih dijalankan.

Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata menunggu arahan lanjut daripada pihak Peguam Negara berdasarkan keputusan Hakim Koroner Mahkamah Shah Alam, hari ini.

“PDRM mengambil maklum akan keputusan inkues terhadap kematian Muhammad Adib yang dibuat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam, Selangor.

“Untuk makluman, siasatan berhubung kes jenayah terhadap Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup dan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Terdahulu, pagi ini, Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya itu adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu dan meninggal dunia 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Berita Harian X