Jumaat, 27 September 2019 | 11:01am
ANTARA mesin untuk aktiviti perlombongan secara haram terdapat dalam Hutan Simpan Ibam yang dikesan pada Operasi Lombong Bersepadu. - Foto Mohd Rafi Mamat
ANTARA mesin untuk aktiviti perlombongan secara haram terdapat dalam Hutan Simpan Ibam yang dikesan pada Operasi Lombong Bersepadu. - Foto Mohd Rafi Mamat

Rampas 11 jentera buka lombong biji besi

ROMPIN: Operasi Lombong Bersepadu di Hutan Simpan Ibam selama dua hari berakhir hari ini, menyita 11 jentera pelbagai guna milik sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti melombong bijih besi secara haram.

Antara jentera dirampas oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang ialah dua unit mesin pengisar batu, empat lori pengangkut dan lima jengkaut.

Difahamkan, seorang lelaki berusia 50-an yang bekerja sebagai pengurus syarikat lombong terbabit turut ditahan atas kesalahan berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata tujuan utama operasi berkenaan adalah untuk mengesan dan membendung kegiatan perlombongan bijih besi tanpa lesen di kawasan Hutan Simpan Ibam.

Beliau berkata, operasi kali ini dianggap berkesan dan mencapai matlamat apabila menyita 11 jentera berat, termasuk dua motosikal dan masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Proton Wira yang digunakan untuk aktiviti perlombongan secara haram termasuk memasuki hutan simpan tanpa permit.

“Lokasi lombong haram yang dikesan terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari Ibam melalui jalan tanah merah.

“Ketika anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, PTG dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan, aktiviti mengorek batu bukit sedang rancak dilakukan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang juga pemandu lori dan jengkaut segera melarikan ke kawasan hutan dan gagal dikesan,” katanya kepada di sini, hari ini.

Mohd Hizamri berkata, operasi bersepadu kali ini disertai seramai 78 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Hutan Daerah Rompin, PTG, PDRM dan Bahagian Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.

Beliau berkata, pihaknya dan PTG Pahang menggunakan dua unit dron bagi mendapatkan kedudukan kawasan lombong haram terbabit dengan lebih tepat

Katanya, sebahagian jentera yang disita disimpan di pusat penyimpanan di Ladang Kemasul, Mentakab manakala sebahagian lagi dibawa ke Kuantan.

“Saya difahamkan seorang lelaki berusia 50 yang bekerja sebagai pengurus syarikat lombong terbabit turut ditahan bagi tindakan undang-undang kerana kesalahan berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit.

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan aktiviti perlombongan dalam kawasan hutan simpan, tindakan tegas menanti pihak terbabit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya yang akan terus mengadakan operasi bersepadu setiap tahun.

Beliau berkata, hanya dengan operasi bersepadu sahaja dapat melumpuhkan semua aktiviti perlombongan biji besi yang begitu terkenal di daerah ini.

Katanya, operasi yang sama sebelum ini turut diadakan di Raub dan Lipis yang terkenal dengan lombong emas.

Berita Harian X