Khamis, 26 September 2019 | 1:37pm
AHLI perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Nota Maklumat dari Jho Low menjawab persoalan 1MDB

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low menyediakan nota maklumat bagi menjawab persoalan kepada rakyat Malaysia membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nota maklumat itu juga akan digunakan jika perlu menjawab soalan penting daripada Jabatan Audit Negara atau parti politik.

Ia berikutan pada ketika itu, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi, berkata nota maklumat itu mengandungi butiran usaha sama 1MDB-PSI (PetroSaudi International Ltd), diserahkan Jho Low kepadanya.

Beliau berkata, ia mengandungi butiran terperinci usaha sama bermula dengan sejarah penubuhan PSI dan hubungan PSI dengan Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud yang berakhir dengan penamatan perjanjian pinjaman Murabaha.

Katanya, ia bagi memastikan segala tindakan yang diambilnya (saksi) adalah mengikut kehendak Jho Low.

“Setiap kali dokumen nota maklumat diserahkan kepada saya, Jho Low akan beritahu isi kandungannya dibincangkan dan dipersetujui Najib.

“Saya rasa beliau tidak berbohong kerana apabila saya rujuk semula isi kandungan nota yang diserahkan kepada saya, Najib tidak pernah mengatakan beliau tidak setuju dengannya.

“Najib hanya meminta atau mengarahkan saya untuk mengambil tindakan susulan mengikut kandungan nota maklumat itu,” katanya.

Shahrol Azral berkata, nota maklumat itu turut membabitkan surat daripada Duta Arab Saudi yang menyokong syarikat PSI, surat Duta Malaysia ke Arab Saudi yang menyokong Prince Turki Abdullah dan wakil PSI Tarek Obaid serta surat Banque Saudi Fransi yang menyatakan status baik syarikat PSI.

“Secara amnya, dokumen sokongan ini adalah untuk memberikan keyakinan bahawa PSI adalah syarikat yang mempunyai reputasi yang baik dan boleh dipercayai.

“Bagi setiap dokumen ‘talking points’ (nota maklumat) atau ‘action plan’ (pelan tindakan) serta e-mel yang saya terima daripada Jho Low, beliau (Jho Low) akan sentiasa berpesan kepada saya untuk pastikan ia dimusnahkan kemudian.

“Ini kerana ia mengandungi maklumat sulit dan sensitif yang boleh disalah gunakan untuk menggugat kedudukan Najib secara politik jika ia jatuh ke tangan yang salah.

“Bagaimanapun ada dokumen yang saya tidak sempat musnahkan kerana terlepas pandang,” katanya.

Berita Harian X