Khamis, 26 September 2019 | 1:30pm
MEJAR Mohd Zahir Armaya.

Insiden pegawai komando kes terpencil, kemalangan - Lembaga Siasatan

KUALA LUMPUR: Insiden kematian pegawai komando Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkena tembakan ketika demonstrasi adalah kes terpencil dan diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) ke atas insiden itu merumuskan peralatan dan kelengkapan digunakan ketika latihan keupayaan berkenaan berada dalam keadaan baik.

TDM dalam satu kenyataan hari ini berkata pada masa sama, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib yang setimpal terhadap individu yang terbabit insiden itu.

“Kita juga sedang kemas kini prosedur operasi standard (SOP) mengikut keperluan.

“Latihan untuk memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan sedia ada,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham Mohd Zahir dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Kolonel pada mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang bersidang pada 17 September lalu, tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“TDM juga sudah menghulurkan bantuan sewajarnya kepada balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun dan ahli keluarga sejak hari pertama insiden itu.

“Isteri Allahyarham dan keluarga akan terus diberi bantuan serta faedah mengikut kelayakan ditetapkan dalam perkhidmatan TDM,” katanya.

Dalam kejadian pada 4 September lalu, Mohd Zahir terbunuh apabila terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah.

Berita Harian X