Khamis, 26 September 2019 | 1:21pm
SAKSI pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir sambung bicara kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

1MDB dibenar pinjamkan AS$330 juta kepada PetroSaudi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah AS$330 juta kepada PetroSaudi BVI pada Mei 2011.

Kebenaran itu diberikan melalui surat bertajuk ‘Kebenaran BNM berkenaan pemberian pinjaman mata wang asing kepada bukan pemastautin bertarikh 20 Mei 2011’ itu, berikutan permohonan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Radhi Mohamad, bertarikh 18 Mei 2011.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya berkata, kebenaran itu diberikan dalam mesyuarat antara BNM dan 1MDB pada 19 Mei 2011.

Shahrol Azral yang membacakan pernyataan saksinya, berkata surat AmBank Berhad kepada 1MDB bertajuk ‘Confirmation of a foreign exchange transaction’ bertarikh 20 Mei 2011, menjelaskan berkaitan arahan pindahan wang AS$30,000,000 ke akaun bernombor 11116073.2000.

“Beneficiary (Pemilik) bagi akaun ini adalah atas nama PetroSaudi International Ltd (PSI). Arahan memindahkan wang adalah daripada CEO PSI, Tarek Obaid melalui surat bertarikh 12 Mei 2011,” katanya.

Saksi turut merujuk surat ‘remittance instruction’ daripada 1MDB kepada AmIslamic berkenaan ‘FX confirmation’ bertarikh 23 Mei 2011 berkaitan arahan pindahan ke akaun PSI berjumlah AS$65,000,000.

Dokumen lain membabitkan “Letter of Instruction” (FX Deal) (arahan pindahan) daripada 1MDB kepada Deutsche Bank berkenaan ‘remittance of AS$110 juta (pengeluaran) bertarikh 27 Mei 2011.

Ia adalah surat pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun PSI bernombor 11116073.2000 berjumlah AS$110,000,000.

Katanya, urusan pemindahan wang ke akaun PSI diarahkan Tarek Obaid.

Berita Harian X