Rabu, 25 September 2019 | 12:07pm

Kerana RM20, tergamak mahu bunuh bapa sendiri

TASEK GELUGOR: Berang permintaannya tidak diendahkan menyebabkan seorang lelaki tergamak mahu membunuh bapanya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah dekat Kampung Nyior Sebatang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, suspek lelaki berusia 34 tahun itu meminta sejumlah RM20 daripada bapanya berusia 74 tahun namun tidak diendahkan.

Berikutan itu, lelaki berkenaan mengamuk dan mengacukan pisau ke arah bapanya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh lelaki warga emas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang berada dalam ketakutan kemudian terus ke balai polis untuk membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

“Ketika kejadian, hanya mangsa dan suspek sahaja berada di rumah itu manakala anak-anak yang lain masih di tempat kerja.

“Mangsa memaklumkan suspek mengamuk dengan membaling kesemua barang di dalam rumah berikutan marah kepada mangsa yang tidak mahu memberikan wang RM20 kepadanya lalu sanggup bertindak mengacukan pisau dan menggugut untuk membunuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Noorzainy berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, polis bergegas ke lokasi kejadian dan membuat tangkapan ke atas suspek kira-kira jam 5 petang iaitu 30 minit selepas insiden itu dilaporkan.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia dibawah pengaruh dadah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X