Selasa, 24 September 2019 | 4:25pm
SAKSI pendakwaan, Shahrol Azral hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Najib suruh teruskan walaupun Sultan murka - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan supaya bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) diteruskan, walaupun Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin murka dengan pelaksanaannya.

Pendedahan itu dibuat bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada hari ke-12 perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Shahrol Azral berkata, arahan bagi meneruskan pelaksanaan IMTN itu diberikan Najib dalam pertemuan mereka di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Langgak Duta, di sini.

Beliau berkata, terdahulu selepas pertemuan bersama Sultan Mizan pada 22 Mei 2009, beliau menghubungi ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk memaklumkan perkara yang dibincangkan di Istana Terengganu.

Katanya, Jho Low kemudian memintanya bertemu dengan Najib untuk menyelesaikan kemelut IMTN itu.

“Ketika dihubungi, Jho Low terkejut dan meminta masa untuk menyelesaikan masalah itu dan memaklumkan akan menghubungi saya semula.

“Selepas itu, Jho Low menghubungi saya semula dan meminta saya pergi ke rumah Najib di Jalan Langgak Duta pada malam itu pada jam 8 ke 9 malam.

“Pada masa sama saya ada menghubungi Casey Tang (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB) dan memaklumkan status itu serta memintanya berbincang dengan Ambank sekiranya memerlukan IMTN digantung.

“Casey Tang memaklumkan ia tidak boleh digantung kerana perjanjian sudah dimeterai dan Pengurus Perhubungan Ambank ketika itu, Joanna Yu juga memaklumkan sebahagian bon itu sudah dibeli ketika ‘book building exercise’ (tempah). Ia dikira melanggar perjanjian yang sudah dimeterai,” katanya.

Shahrol Azral dalam keterangannya berkata, sebaik saja tiba di kediaman Najib, beliau mendapati Jho Low dan Najib menunggunya di ruang tamu dan mereka kelihatan seperti sudah berbincang.

Katanya, beliau menjelaskan kepada Najib bahawa Tuanku Mizan menitahkan bon digantung dan Ambank pula tidak membenarkan ia digantung disebabkan faktor perjanjian yang ditandatangani lebih awal sebelum titah Sultan.

Tambahnya, Jho Low memaklumkan bahawa disebabkan IMTN dijamin Kerajaan Persekutuan, maka penggantungan di peringkat akhir ini akan menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur terhadap bon kerajaan Malaysia.

“Najib bertanya kepada saya sama ada saya tahu kenapa Tuanku murka dan saya menjawab, saya tidak tahu.

“Beliau (Najib) bertanya balik adakah saya diberikan sesalinan resolusi dan saya memberitahu tiada. Kemudian beliau memberitahu dalam ayat lebih kurang seperti berikut, ‘you go ahead, I will talk to Tuanku’ (Kamu teruskan, saya akan cakap dengan Tuanku).

“Saya menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk meneruskan IMTN kerana beliau menteri yang bertanggungjawab memberikan Jaminan Kerajaan itu.

“Jho Low juga mendengar arahan itu. Kemudian saya terus pulang manakala Jho Low masih lagi berada di rumah Najib,” katanya.

Berita Harian X