Selasa, 24 September 2019 | 7:20am
VIDEO pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu yang tular di laman sosial, malam tadi.

Gempar pergaduhan di hadapan restoran

KOTA KINABALU: Pengunjung sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini digemparkan dengan insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan petang semalam.

Kejadian membabitkan lebih 20 individu itu yang dirakamkan saling membaling kerusi di hadapan sebuah restoran turut dirakamkan oleh orang ramai sebelum tular di laman sosial malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu dan gerakan mengesan mereka sedang dijalankan.

Katanya, belum ada sebarang tangkapa setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kita sudah mengenal pasti identiti beberapa individu yang terbabit dalam pergaduhan itu dan mereka diminta untuk tampil membantu siasatan. Malah, gerakan mengesan mereka juga sedang giat dilakukan.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang pemilik kedai cedera dipukul dalam insiden berkenaan ,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang berusia 29 tahun itu dikatakan diserang oleh beberapa lelaki sebelum beberapa rakannya datang membantu, lalu tercetus pergaduhan.

“Setakat awal, mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebagai pesakit luar dan motif pergaduhan masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Berita Harian X