Isnin, 23 September 2019 | 5:09pm
Kesan lebam di badan mangsa disyaki didera ibu dan teman lelaki. - NSTP/Ihsan PDRM

Budak 5 tahun dipercayai didera ibu, teman lelaki

GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun lebam anggota badan disyaki didera ibu dan teman lelaki wanita itu di sebuah premis di Jalan Jelutong di sini.

Mangsa ditemui dalam bilik bersama ibu dan lelaki terbabit pada Sabtu lalu oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ketika memeriksa premis itu bagi mengesan seorang suspek berkaitan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata pasukan itu yang curiga dengan keadaan budak berkenaan, memeriksa tubuhnya dan menemui beberapa kesan lebam.

Katanya, mangsa kemudian memberitahu dia dipukul ibu dan lelaki terbabit.

“Mangsa memberitahu dipukul ibu dan teman lelaki ibunya yang dipanggil ‘Daddy’ tetapi, tidak menyatakan sebabnya. Berikutan itu, wanita dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan.

“Budak itu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pemeriksaan doktor mendapati ada lebam di pipi kiri, kedua-dua belah tangan dan kaki, selain kesan kecederaan pada kemaluan.

“Imbasan sinar X tidak menemui sebarang kesan patah pada anggota badannya. Mangsa dimasukkan ke wad HPP untuk pemeriksaan lanjut dan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibu mangsa berusia 28 tahun berstatus janda dan teman lelakinya berumur 37 tahun, yang juga seorang kontraktor, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semakan terhadap lelaki berstatus duda itu mendapati dia mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah lain, manakala wanita itu tiada sebarang rekod jenayah.

Hasil ujian air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Berita Harian X