Isnin, 23 September 2019 | 4:16pm

Empat suspek ditembak mati terbabit 21 kes samun, pecah rumah

SEPANG: Empat ahli Geng Sree yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah di Selangor dan Negeri Sembilan, mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Kondominium Residen Skypark, Cyberjaya, hari ini.

Semua suspek lelaki tempatan berusia 29 hingga 45 tahun yang disyaki terbabit dalam 21 kes samun dan pecah rumah itu ditembak kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata sebelum kejadian itu, polis menerima panggilan daripada seorang mangsa yang mengatakan rumahnya di Taman Segar Perdana, Cheras, Kuala Lumpur, disamun empat lelaki.

“Bertindak atas laporan itu, polis mengesan sebuah kereta Mercedes Benz berwarna hitam diletakkan di kawasan letak kereta di kondominium terbabit.

“Ketika mahu melakukan pemeriksaan, seorang suspek yang berada dalam kereta Volkswagen Passat yang diletakkan bersebelahan Mercedes terbabit tiba-tiba keluar dan menyerang polis dengan parang diikuti beberapa das tembakan.

“Berikutan itu, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan dan terkena pada semua suspek dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Noor Azam berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan Mercedes itu menemui tiga parang, dua pucuk pistol jenis Baretta dan Revolver, wang tunai, beberapa utas jam tangan, wang tunai serta telefon bimbit.

Beliau berkata, modus operandi geng terbabit adalah samun di dalam rumah pada waktu pagi sebelum mengikat mangsa yang berada di rumah berkenaan.

“Selain mengambil barang berharga, suspek melarikan kenderaan milik mangsa sebelum ke kondominium berkenaan disyaki untuk bersembunyi,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah antaranya samun, pecah rumah dan dadah.

“Suspek pertama berusia 35 tahun, berasal dari Kajang dan mempunyai lebih 20 rekod jenayah iaitu samun berkawan, pecah rumah dan dadah, manakala suspek kedua berusia 45 tahun, berasal dari Johor dan mempunyai 16 rekod jenayah iaitu samun berkawan, curi, pecah rumah dan dadah.

“Bagi suspek ketiga yang berusia 29 tahun dan berasal dari Cheras, memiliki satu rekod jenayah. Suspek keempat kita masih belum kenal pasti,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin (dua dari kiri) pamer senjata yang digunakan penjenayah yang ditembak mati di Cyberjaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X