Ahad, 22 September 2019 | 9:50pm
Mangsa, Fakih Abd Rahman Mohd Amran lemas di muara sungai Kuala Ibai. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Budak lelaki lemas mandi di sungai

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya di muara sungai Kuala Ibai, di sini, petang tadi.

Mangsa, Fakih Abd Rahman Mohd Amran yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Kuala Ibai, ditemui di dasar sungai itu pada jam 6.33 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 5.55 petang sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera berkejar ke lokasi kejadian.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menjalankan pencarian di permukaan air sebelum mayat mangsa ditemui di dasar sungai pada jarak 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Ketika pencarian dijalankan, air surut tetapi arus laju. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, terdahulu mangsa mandi di sungai itu bersama dua rakannya yang juga berusia tujuh tahun kira-kira jam 5.30 petang.

Sementara itu, tukang masak di sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian, Muhamad Azhar Mohammad, 30, berkata beliau sedang berbual dengan rakan apabila dikejutkan dengan kehadiran rakan mangsa meminta tolong.

“Dia memberitahu dua kawannya lemas dan saya segera terjun ke sungai, namun hanya sempat menyelamatkan seorang daripada mereka.

“Ketika itu, budak yang terselamat berada dalam keadaan lemah, sementara rakan lain menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Berita Harian X