Ahad, 22 September 2019 | 10:52am

Kawasan terbakar di Sri Aman kurang 5 hektar

SRI AMAN: Operasi memadamkan kebakaran belukar di Kampung STC di sini diperhebatkan hari ini dengan pengeboman air pada jam 9.20 pagi tadi menggunakan pesawat Bombardier CL-415 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pesawat berkenaan dijangka terus melakukan pengeboman air di kawasan terbakar sehingga tengah hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pesawat berkenaan perlu melaksanakan operasi pada waktu pagi berikutan air Sungai Lingga dijangka surut petang ini.

“Air sungai yang surut dikhuatiri menyukarkan pesawat itu mengambil air, sebab itulah operasi pengeboman air dimulakan awal hari ini,” katanya.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - Foto Mohd Roji Kawi
ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - Foto Mohd Roji Kawi

Selain itu, katanya, anggota bomba turut melaksanakan pemadaman di kawasan itu sepanjang malam tadi berikutan masih banyak kawasan di tanah gambut itu mengeluarkan asap.

Beliau berkata, anggota dibekalkan dengan parang untuk tujuan keselamatan berikutan kawasan operasi yang sukar.

“Setiap anggota yang terbabit dalam operasi pada waktu malam juga dibekalkan dengan lampu suluh kepala bagi memudahkan pergerakan,” katanya.

Sehingga jam 9 pagi tadi, kira-kira 50 hektar daripada hampir 55 hektar kawasan yang terbakar sudah berjaya dipadamkan.

Ling Hii berkata dianggarkan hanya lima hektar lagi kawasan yang masih mengeluarkan asap kerana api marak di dalam tanah.

“Kawasan lima hektar yang masih berasap itu pula bertompok-tompok dan ini yang perlu ditangani dengan menggunakan pesawat,” katanya.

Berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya tiga kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga jam 10 pagi ini iaitu Sri Aman dengan bacaan 195, Kuching (135) dan Samarahan (135).

ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - Foto Mohd Roji Kawi
ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - Foto Mohd Roji Kawi
ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - Foto Mohd Roji Kawi
ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - Foto Mohd Roji Kawi
Berita Harian X