X
Jumaat, 20 September 2019 | 3:33pm
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas 100 kilogram ikan dipercayai hasil bom ikan daripada sebuah bot pam yang ditahan di Tanjung Tavajun, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. NSTP/Ihsan APMM.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas 100 kilogram ikan dipercayai hasil bom ikan daripada sebuah bot pam yang ditahan di Tanjung Tavajun, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. NSTP/Ihsan APMM.

Maritim Malaysia komited tangani isu bom ikan

KOTA KINABALU: Sejumlah 100 kilogram ikan dan hasil laut yang disyaki diperoleh menggunakan kaedah pengeboman dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dari sebuah bot pam di Tanjung Tavajun, Pulau Gaya kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan di sekitar pulau berkenaan terserempak dengan bot pam berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, ketika cuba dihampiri, dua individu yang berada di atas bot berkenaan tiba-tiba terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak ditahan.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Malaysia Sabah, Komander Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak berdaftar dan membawa hasil ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bom ikan.

Katanya, pelbagai jenis hasil laut yang dianggarkan seberat 100 kilogram itu kemudiannya dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sabah di Sepanggar bersama bot pam berkenaan.

“Semua rampasan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya. Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, dan juga melakukan kesalahan mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Muhammad Suffian berkata, Maritim Malaysia turut melancarkan operasi khas, Ops Naga Timur, bagi membendung kegiatan berkenaan.

Katanya, menerusi operasi itu, pihaknya berjaya menahan sembilan bot yang melakukan beberapa kesalahan mengikut akta-akta di bawah bidang kuasa APMM.

“Maritim Malaysia sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara untuk dijual di pasaran gelap.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara,” katanya.

Muhammad Suffian berkata, bot nelayan tempatan yang melanggar undang-undang maritim juga akan diambil tindakan.

Katanya, komuniti maritim juga diminta supaya menyalurkan sebarang maklumat dan aduan jenayah di laut ke talian 088-270185 Pusat Operasi Maritim Malaysia Sabah untuk tindakan segera.

Berita Harian X