Khamis, 19 September 2019 | 3:18pm
Senjata jenis bakakuk. - Foto hiasan

Enam peluru di paha selepas tertembak kaki sendiri

BEAUFORT: Seorang lelaki parah selepas tertembak kaki sendiri di kawasan hutan di Kampung Batu 59, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Awang Usop@Udui, 50, cedera di bahagian paha akibat terkena tembakan daripada senjata jenis bakakuk sebelum dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata jururawat hospital menghubungi polis pada jam 9 malam dan memaklumkan terdapat peluru pada kaki mangsa.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, sebelum kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa yang bekerja sebagai pemotong kayu bersama anak saudaranya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) memasuki hutan berkenaan untuk mencari kayu.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 5 petang, isteri mangsa dimaklumkan oleh anak saudara mereka bahawa mangsa cedera di bahagian kaki kanan selepas tertembak sendiri dengan menggunakan senapang jenis bakakuk.

“Mangsa yang berada di kawasan hutan kemudian dibawa ke wad kecemasan Hospital Beaufort dengan bantuan ambulans dan hasil imbasan X-ray terdapat enam butir peluru di bahagian paha kaki kanan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, susulan penemuan peluru itu, mangsa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, rakaman percakapan mangsa belum diambil kerana rawatan sedang dilakukan dan keadaan mangsa belum stabil sepenuhnya.

“Tangkapan akan dilakukan hanya selepas mangsa sedar.

“Bagaimanapun, anak saudara mangsa sudah ditahan untuk membantu siasatan dan usaha untuk mengesan serta merampas bakakuk terbabit sedang dilakukan,” katanya sambil mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X