Rabu, 18 September 2019 | 4:47pm
VIDEO pergaduhan antara dua lelaki di Plaza Tol Bukit Kiara yang tular di media sosial.

Polis sahkan dua lelaki bergaduh di Plaza Tol Bukit Kiara

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pertengkaran dan pergelutan antara dua lelaki di Plaza Tol Bukit Kiara, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Mazda CX5 memotong dan menekan brek di hadapan van jenis Toyota Hiace dipandu seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di kawasan Kerinchi Link, di sini.

Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan kemudian memberhentikan kenderaan mereka di plaza tol terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan.

“Mereka sudah membuat laporan polis hari ini dan semalam.

“Akibat pergaduhan itu, pemandu van cedera di bahagian lutut dan muka, manakala pemandu Mazda cedera di kepala, tangan kaki.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mempunyai sifat bertimbang rasa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Ahmad Osman di talian 011-3650 8678 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields, 03-2297 9222,” katanya.

Video berdurasi seminit setengah memaparkan kereta Mazda beberapa kali menekan brek secara mengejut di hadapan van berkenaan tular di media sosial, terutama Facebook, sejak malam tadi.

Kedua-dua pemandu berkenaan dilihat berhenti di sebuah plaza tol dan berlaku pergelutan serta pergaduhan antara mereka.

Berita Harian X