Sabtu, 14 September 2019 | 11:41pm
Saman trafik PDRM yang dipalsukan.

Gambar diubah suai

KUALA LUMPUR: Polis menjelaskan penularan gambar saman melalui laman sosial facebook, berhubung pemakaian baju motosikal jenis Y15ZR atau ‘Ysuku’ oleh polis trafik Petaling Jaya, tidak benar.

Hasil semakan ke atas no siri saman (AD 601241) yang tular mendapati saman berkenaan dikeluarkan pada 2007 atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor memaklumkan bahawa saman berkenaan sudah dijelaskan dan kes berkenaan dikategorikan selesai.

Dalam satu kenyataan menerusi Facebook JSPT Selangor, pihaknya mengesyaki saman yang tular itu diubah oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu yang hangat diperkatakan kini.

Sehubungan itu, JSPT sedang menyiasat dan mengesan individu yang memalsukan dokumen kerajaan seperti itu serta satu laporan polis dibuat oleh Pegawai JSPT di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

JSPT akan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat yang tidak benar dan cuba menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X