Rabu, 11 September 2019 | 4:45pm
PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Kes 1MDB ditangguhkan hingga Selasa depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) ditangguhkan berikutan Najib mengalami jangkitan mata.

Prosiding kes 1MDB yang sepatutnya masuk hari ketujuh hari ini dengan pemeriksaan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap pegawai khas kepada Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Najib memperoleh cuti sakit selama dua hari selepas menemui doktor di sebuah klinik di sini semalam.

Bagaimanapun, kes berkenaan akan didengar pada Selasa depan seperti yang diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Ketika prosiding pagi tadi, Muhammad Shafee memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang anak guamnya sakit mata dan akan bertemu doktor pada jam 10.30 pagi.

“Saya menerima panggilan telefon daripada anak guam pada jam 7.15 pagi dan menyatakan bahawa beliau tidak dapat hadir perbicaraan kerana sakit mata.

“Barangkali jangkitan mata itu disebabkan cuaca jerebu di mana pada petang semalam beliau berada di luar,” katanya.

Tiada sebarang bantahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Pendakwaan tiada apa-apa ingin dikatakan. Kami hanya menunggu laporan kesihatan (medical report),” katanya.

Collin membenarkan penangguhan dan mengarahkan supaya pihak pembelaan memaklumkan perkara terkini berhubung jumlah cuti sakit yang diperoleh Najib.

“Sekiranya dua hari (hingga esok) maka perbicaraan akan bersambung Selasa depan. Sekiranya cuti sakit hanya sehari (hari ini) esok akan sambung bicara,” katanya.

Sebelum ini, dalam prosiding perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd, Najib pernah mengambil cuti sakit selama tiga hari atas masalah kesihatan sama.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan rasuah iaitu menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

991 dibaca
Berita Harian X