Rabu, 11 September 2019 | 3:37pm

Jual MyKad, pegawai JPN Pulau Pinang didakwa esok

GEORGETOWN: Seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan dituduh di Mahkamah Sesyen Georgetown, esok, berhubung kes aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di negeri ini.

Sumber berkata, lelaki berumur awal 40-an yang sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu akan dihadapkan di mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Media sebelum ini melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Dalam operasi khas minggu lalu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta SOSMA.

Sumber berkata, antara yang ditahan termasuk pegawai JPN Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Pulau Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat pasport Malaysia.

Difahamkan, wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke pejabat imigresen negeri bagi membuat pasport Malaysia sebelum mengemukakan MyKad miliknya yang sah.

Bagaimanapun, status kewarganegaraan wanita terbabit diragui sebelum imigresen bertindak membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Susulan itu, satu operasi sulit dilakukan PDRM sebelum membawa kepada penahanan beberapa individu dipercayai terbabit kes penjualan MyKad bernilai RM350,000.

Difahamkan, operasi sulit itu akan menahan beberapa lagi individu termasuk membongkar sindiket berkenaan.

Katanya, difahamkan, hasil siasatan sehingga kini, kumpulan itu sudah menjual lebih enam keping MyKad, selain penemuan sejumlah wang tunai bersama beberapa individu terbabit.

4649 dibaca
Berita Harian X