Rabu, 11 September 2019 | 12:28pm
MAMAT Exist

Kertas siasatan babit kes Mamat Exist dirujuk pada DPP

JOHOR BAHRU: Polis akan menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan bekas vokalis kumpulan Exists, Mamat yang ditahan selepas didapati positif mengambil dadah syabu kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata penyanyi itu bersama seorang lagi rakannya dibebaskan dengan jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada jam 5 petang semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mamat, 42, yang bakal mengadakan konsert reunion bersama anggota asal kumpulan Exists pada 28 September ini, ditahan polis selepas didapati positif mengambil dadah syabu.

Penyanyi lelaki berusia 41 tahun itu sebelum ini pernah diberkas polis sebanyak dua kali berhubung isu sama pada tahun 2009 dan 2011.

Dalam kes terbaru pada jam 11.30 malam Ahad lalu, Mamat atau nama penuhnya Mohd Ali Kamarudin ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di sini.

Penyanyi terbabit yang pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza sebelum ini ditahan bersama seorang lagi rakan lelakinya.

Dia sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemui paket berisi serbuk putih disyaki dadah itu dalam dompet milik penyanyi terbabit.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara berkata, Mamat 42, dalam keadaan baik dan tenang sebaik dibebaskan, petang semalam.

Mamat dan rakannya dibebaskan daripada tahanan reman selama tiga hari dengan jaminan polis petang semalam.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Sesyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sesyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

2392 dibaca
Berita Harian X