Rabu, 11 September 2019 | 9:05am
PASUKAN mencari dan menyelamat mengangkat mayat seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam di Pulau Sari. - Foto ihsan PDRM

Pemancing hilang: Mayat mangsa kedua ditemui

LAWAS: Seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu selepas bot dinaiki bersama dua lelaki lain dipercayai karam di Pulau Sari, di sini, ditemui lemas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Roslan Leman, berkata mayat Farouk Arlan Ahmad Sabri, 29, dijumpai kira-kira jam 11.30 malam oleh pasukan sukarelawan bomba dan penduduk kampung.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 450 meter dari lokasi mayat mangsa pertama yang ditemui pagi semalam.

“Usaha pencarian untuk mangsa ketiga masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Isnin lalu, tiga pemancing lelaki dilaporkan hilang apabila gagal dihubungi sejak jam 4 petang selepas dikatakan keluar memancing pada jam 5 pagi.

Mayat mangsa pertama dikenali sebagai Yeu Chee Ting, 30, ditemui orang kampung di Sungai Labi-Labi pada jam 8.35 pagi semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan kira-kira 40 anggota pelbagai agensi dan penduduk kampung.

1993 dibaca
Berita Harian X