Isnin, 9 September 2019 | 11:58pm

11 remaja 'beraksi' dengan basikal lajak ditahan

KUALA LUMPUR: Sebelas remaja berusia antara 11 hingga 15 tahun ditahan selepas ‘beraksi’ dengan basikal lajak masing-masing di Taman Berlian, Gombak, hari ini.

Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebanyak 11 basikal lajak turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata operasi dilakukan selepas menerima maklumat orang ramai mengenai sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya.

“Kita menahan kesemua 11 remaja yang menunggang basikal lajak di kawasan itu. Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Gombak untuk tindakan lanjut.

“Polis seterusnya menghubungi keluarga remaja yang ditahan. Penerangan dan nasihat mengenai bahaya basikal lajak serta cara menunggang membahayakan keselamatan diri mereka dan pengguna jalan raya lain, turut diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Samsor berkata, saman dikeluarkan terhadap semua 11 remaja terbabit mengikut Peraturan 42(1)a Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959, manakala kesemua basikal dirampas mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“BSPT IPD Gombak akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap penggunaan basikal lajak.

“Ibu bapa juga disaran memastikan anak mereka tidak menunggang basikal lajak di jalan raya,” katanya.

Berita Harian X