Isnin, 9 September 2019 | 4:57pm
MAYAT seorang lelaki tanpa kaki dan tangan kiri ditemui di Sungai Batang Rajang berhampiran Jeti Nan Chong di kawasan Paradom, Sibu, semalam. - Foto ihsan pembaca

Mayat lelaki tanpa kaki, tangan kiri ditemui terapung

SIBU: Mayat seorang lelaki tanpa kaki dan tangan kiri ditemui di Sungai Batang Rajang berhampiran Jeti Nan Chong di kawasan Paradom, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata orang ramai menjumpai mayat itu terapung dalam keadaan terlangkup di sungai berkenaan.

“Selepas menerima maklumat awam kira-kira jam 9.20 pagi, beberapa anggota polis dan polis marin bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu sudah kembang dan berulat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, beliau berkata, tidak dapat dipastikan sama ada mayat itu warga tempatan atau warga asing, namun ada tatu pada betis kanan mangsa.

“Hasil penelitian awal mendapati tiada sebarang kesan atau perbuatan jenayah ditemui pada badan mangsa kecuali kaki dan tangan kiri tiada.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X