Ahad, 8 September 2019 | 8:09pm

Terselamat kerana bau hangit

KUALA KANGSAR: Penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres dua tingkat terselamat dalam kebakaran kenderaan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, 12 penumpang serta dua pemandu bas terbabit berjaya keluar dari kenderaan yang difahamkan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah itu selepas berhenti di R&R dipercayai kerana terhidu bau hangit dari bahagian enjin.

Seorang penumpang terbabit, Nur Syakila Abd Malik, 21, mendakwa beliau sudah terhidu bau hangit sejak bas itu menuruni Terowong Menora lagi, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya tidur semula sebelum dikejutkan penumpang yang meminta turun dari bas kerana berlaku kebakaran. Selepas keluar dari bas, saya melihat api kecil dan asap di bahagian belakang bas.

“Pemandu bas kemudian cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api yang ada di dalam bas dan alat pemadam api milik PLUS,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nur Syakila berkata, sebaik saja api kecil itu berjaya dipadamkan, pemandu cuba mengeluarkan beg penumpang yang disimpan di ruangan bawah sebelum api kembali marak.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah bas ekspres dua tingkat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar. - Foto ihsan bomba

“Hanya barang disimpan di bahagian bawah terselamat, sementara barang yang diletakkan di atas bas, termasuk beg duit saya gagal diselamatkan kerana tidak berani naik semula untuk mengambilnya.

“Namun, saya bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap saya dan semua penumpang bas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata bas terbabit musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Bas itu dinaiki 12 penumpang dan dua pemandunya. Kesemua mereka berjaya keluar dengan selamat sebelum api merebak. Pihak bomba, PLUS dan PROPEL (Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad) turut membantu di lokasi kejadian,” katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pula berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan dibantu BBP Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 1.57 tengah hari.

Beliau berkata, bas terbabit musnah 90 peratus sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.48 petang.

KEADAAN bas ekspres dua tingkat yang musnah dalam kebakaran di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X