Sabtu, 7 September 2019 | 3:59pm
Dua maut, seorang cedera selepas kereta dinaiki merempuh pokok di Kilometer 2, Jalan Keningau - Apin Apin, di Keningau. - Ihsan PDRM
Dua maut, seorang cedera selepas kereta dinaiki merempuh pokok di Kilometer 2, Jalan Keningau - Apin Apin, di Keningau. - Ihsan PDRM

Dua maut, seorang cedera kereta langgar pokok

KENINGAU: Dua maut, manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh pokok di Kilometer 2, Jalan Keningau - Apin Apin, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Saga masing-masing lelaki berusia 31 dan 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, penumpang hadapan berusia 26 tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Apin-Apin menuju ke pekan Keningau.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mereka hilang kawalan dan terus terbabas sebelum merempuh pokok di kiri jalan.

“Impak kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan terselamat dengan kecederaan ringan.

“Kedua-dua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Keningau untuk proses selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa yang cedera masih dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil..

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X