Sabtu, 7 September 2019 | 1:21pm

Bukit Aman umum pertukaran pegawai kanan

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim, dilantik sebagai Ketua Polis Melaka yang baharu berkuat kuasa 7 Oktober ini, menggantikan Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah yang bakal bersara.

Perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, hari ini.

Pertukaran turut membabitkan 27 pegawai kanan lain di pelbagai peringkat dan jabatan dengan semuanya berkuat kuasa 7 Oktober.

Asmawati berkata, jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah bakal diisi Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Muhammad Azlee Abdullah.

“Ketua Penolong Pengarah (KPP) Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

“KPP (Pematuhan), Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Senior Asisten Komisioner (SAC) Sapiai @ Safien Mamat pula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya dengan memangku pangkat DCP,” katanya.

Asmawati berkata, pertukaran pegawai kanan turut membabitkan Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am), JSJN Bukit Aman, SAC Abd Razak Md Zin yang dilantik sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan, Maktab PDRM Kuala Lumpur.

“Timbalan Ketua JPJKK (Operasi) Perak, Asisten Komisioner (ACP) G S Suresh Kumar dilantik sebagai Ketua JPJKK Perak yang baharu dengan memangku pangkat SAC.

“Pertukaran kali ini juga membabitkan ACP Ketua Inspektorat Kejuruteraan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman, ACP Sulaiman Hussain.

“Beliau dilantik sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, Johor dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

Asmawati berkata, pertukaran kali ini turut membabitkan pelantikan lima Ketua Polis Daerah (KPD) baharu iaitu KPD Ipoh, Perak; Pasir Mas, Kelantan; Brickfields, Kuala Lumpur; Kuala Krai, Kelantan; Rompin, Pahang dan Marang, Terengganu.

“KPD Alor Gajah, Melaka, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz dilantik sbagai KPD Ipoh, dan Superintendan Urusetia Bahagian Urusetia, JPJKK Bukit Aman, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif dilantik sebagai KPD Pasir Mas dengan memangku pangkat ACP.

“Setiausaha Majlis Sukan PDRM cawangan Keselamatan/Sukan/Rekreasi Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Superintendan Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi dilantik pula sebagai KPD Brickfields dengan memangku pangkat ACP,” katanya.

Katanya, pertukaran lain adalah KPD Tanah Merah, Kelantan, Deputi Superintendan (DSP) Suzaimi Mohamad sebagai KPD Kuala Krai dengan memangku pangkat Superintendan; DSP (D14) Siasatan Jenayah Terancang 2, JSJ Bukit Aman, DSP Azari Miskon sebagai KPD Rompin dan Timbalan KPD Lipis, Pahang, DSP Mohd Zain Mat Dris sebagai KPD Marang.

Berita Harian X