Khamis, 5 September 2019 | 8:14am
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bertemu AR Badul dan isteri Allahyarham, Nourshafinar Harun ketika ziarah jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, pagi ini. - NSTP/Abdullah Yusof

Ahmad Faizal anggap Mohd Zahir wira berani

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan kehilangan Mejar Mohd Zahir Armaya, yang maut akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, sebagai wira yang berani.

Katanya, pemergian Mohd Zahir, 36, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara.

Beliau mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Allahyarham saya sifatkan sebagai seorang yang berani, kalau kita lihat dari segi kejadian (ketika demonstrasi), latihan sebegitu Allahyarham dan rakan-rakannya selalu lakukan.

“Apa yang dilakukan bukan untuk menunjukkan kehebatan diri sebaliknya untuk memperkemaskan kecekapan mereka demi untuk mempertahankan negara, jadi pemergian Allahyarham kita anggap pemergian seorang wira.

“Saya sendiri anggap beliau wira dan semangat yang ditunjukkan akan sentiasa saya kenang,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu mentua Allahyarham di Taman Perpaduan, di sini, hari ini.


Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Ahmad Faizal tiba di kediaman itu pada jam 6.50 pagi bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah serta mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa dengan kenderaan milik Tentera Diraja (TD) selamat tiba di rumah berkenaan pada jam 5.45 pagi dan disambut dengan penuh istiadat ketenteraan oleh pasukan 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Markas 2 Briged, Ipoh.

Semalam, BH melaporkan Mohd Zahir yang bertugas sebagai pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas maut terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, dalam kejadian pada jam 8.40 pagi.

Mohd Zahir, anak kepada pelawak dan pelakon veteran, AR Badul, 70, atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie.

4721 dibaca
Berita Harian X