Rabu, 4 September 2019 | 4:01pm
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian kes Mejar Mohd Zahir Armaya.

Komando maut: Siasatan polis ikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan

PENAMPANG: Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian kes Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut ketika melakukan aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 10.05 pagi dan kini siasatan menjurus kepada seorang pegawai tentera.

“Demonstrasi dibuat sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di kem itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, bapa saudara arwah, Ansari Abdullah, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh sepupunya yang juga ibu kepada Mohd Zahir.

“Sejurus menerima panggilan pagi tadi, saya bersama ahli keluarga lain dari Tuaran, bergegas ke hospital.

“Saya hanya tahu arwah datang ke sini sejak seminggu lalu untuk menjalani latihan sempena upacara ini,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, mereka masih belum mendapat kepastian di mana Allahyarham akan dikebumikan.

Sementara itu, suasana di perkarangan Unit Forensik QEH hiba sejurus ibu mangsa tiba di perkarangan QEH kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Difahamkan ketika ini, pihak hospital masih menjalankan proses bedah siasat terhadap mangsa.

Media juga dimaklumkan jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Putatan, petang ini.

6442 dibaca
Berita Harian X