Selasa, 3 September 2019 | 4:37pm
JENAZAH Allahyarham Muhd Ridzo Fadzly dan anak lelakinya, Ahmad Ariffin yang terbabit dalam dalam kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR) dibawa masuk ke dalam van jenazah sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Sungai Gunung Baru, Alor Setar. NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Makan daging pekasam sebelum kemalangan

ALOR SETAR: “Abang teringin sangat makan gulai daging pekasam dan sempat meminta emak masakkan untuknya sebelum pulang. Namun, kami tidak sangka itu hidangan terakhirnya sebelum kemalangan,” kata Farah Hanan Rosely, 34.

Farah Hanan ialah adik kepada Muhd Ridzo Fadzly Rosely, 37, yang rentung bersama anak bongsunya, Ahmad Ariffin, 2, selepas kereta dinaiki keluarga itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) arah Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata, abangnya yang menetap di Rawang, Selangor, pulang bercuti di kampung di Sungai Baru Gunung bersama isteri, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, dan Danish, 2, pada Jumaat lalu, sebelum pulang ke Rawang kira-kira jam 3 petang semalam.

Katanya, mereka hanya mengetahui mengenai kemalangan itu pada jam 2.45 pagi tadi, selepas dihubungi birasnya yang memaklumkan Muhd Ridzo dan Ahmad Ariffin meninggal dunia akibat kemalangan.

“Saya kemudian terus menghubungi emak, Fauziah Mustaffa, 58, yang pada mulanya tidak percaya apa yang berlaku kerana baharu sahaja melihat abang dan keluarganya di kampung.

“Sepanjang berada di kampung, abang tidak banyak bercakap. Cuma Ahmad Ariffin yang kelihatan sangat manja dengan bapanya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, keadaan Ku Nurul Amirah dan Danish masih kritikal ketika ini dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Farah Hanan berkata, keluarganya turut bergegas ke Selangor pagi tadi, untuk melihat keadaan kakak ipar dan anaknya, selain membantu menguruskan jenazah abang dan anaknya yang meninggal dunia.

“Saya dimaklumkan jenazah kedua-dua mereka sudah dibawa pulang ke sini dan dijangka dikebumikan di dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Baru selepas solat asar.

“Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergian abang dan anaknya buat selama-lamanya,” katanya.

Berita Harian X