Selasa, 3 September 2019 | 2:44pm
JENAZAH Allahyarham Muhd Ridzo Fadzly Rosely dan anak lelakinya, Ahmad Ariffin dibawa masuk ke dalam van jenazah sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Sungai Gunung Baru, Alor Setar. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

2 mangsa rentung nahas disahkan anak-beranak

SHAH ALAM: Polis mengesahkan dua mangsa yang rentung akibat kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), dekat Kuala Selangor menghala ke Kuala Lumpur, malam tadi, adalah anak-beranak.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Asri A Wahab, berkata dua beranak yang maut itu ialah pemandu kereta Proton Persona, Muhd Ridzo Fadzly Rosely, 37, dan anak lelakinya, Ahmad Ariffin, 2.

Beliau berkata, nahas jam 11.50 malam yang membabitkan sebuah kereta dengan treler itu turut menyebabkan isteri Muhd Ridzo, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, dan seorang lagi anak mereka, Danish, 2, parah.

“Siasatan polis mendapati Proton Persona dipandu Muhd Ridzo dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar belakang treler terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, Muhd Ridzo dan Ahmad Ariffin yang berada di tempat duduk hadapan, tersepit.


JENAZAH Allahyarham Muhd Ridzo Fadzly Rosely dan anak lelakinya, Ahmad Ariffin dibawa masuk ke dalam van jenazah sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Sungai Gunung Baru, Alor Setar. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

“Kedua-dua mangsa gagal dibawa keluar sebelum kereta berkenaan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya serta Rawang.

“Bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa pada jam 6 pagi tadi mendapati punca kematian ialah kebakaran akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang parah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, manakala pemandu treler berusia 47 tahun terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X