Isnin, 2 September 2019 | 8:35pm
Aslida Jusoh bersama empat anaknya yang selamat dari kebakaran di Kampung Sura Tengah. - NSTP/Rosli Ilham
Aslida Jusoh bersama empat anaknya yang selamat dari kebakaran di Kampung Sura Tengah. - NSTP/Rosli Ilham

Budak 11 tahun selamatkan ibu, 3 adik

DUNGUN: “Walaupun takut, saya memegang tangan kedua-dua adik dan meredah api untuk menyelamatkan diri,” kata Nur Adriana Batrissya Rosshazuan, mangsa kebakaran di Kampung Sura Tengah, di sini, hari ini.

Selain Nur Adriana Batrissya, 11; tiga adiknya, Aqif Zayyan, 1; Nur Qaireena Damia, 6, dan Amar Zafran, 7, serta ibu mereka, Aslida Jusoh, 32, turut terselamat dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi.

Nur Adriana berkata, dia bersama dua adiknya tidur di dalam sebuah bilik manakala ibu bersama adik bongsunya tidur di bilik sebelah.

Katanya, ketika kejadian bapanya, Rosshazuan Musa, 33, tiada di rumah kerana bekerja syif malam di Kerteh.

“Kami masuk tidur jam 10 malam dan ketika tidur, tekak terasa pedih selain turut batuk kerana terhidu asap tebal.

“Sebaik terjaga, bilik dipenuhi asap dan api besar sedang membakar sekeliling bilik lalu saya segera menjerit sekuat hati mengejutkan ibu.

“Ibu segera meminta kami keluar menyelamatkan diri dan saya nekad meredah api bersama adik,” katanya yang turut menghidap penyakit jantung.

Sementara itu, Aslida berkata, dia yang baru terlena kerana menjaga anak bongsunya yang demam terjaga selepas mendengar jeritan anak sulungnya sebelum segera mengarahkan mereka keluar dari bilik.

“Walaupun kami tidak sempat menyelamatkan barangan yang ada, saya bersyukur kerana kami terselamat, Allah SWT masih sayangkan kami sekeluarga, kalau Nur Adriana tidak menyedari kejadian itu, kami semua mungkin terkorban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.45 pagi sebelum 11 anggota BBP Dungun dan Paka dikejarkan ke tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3 pagi.

“Ketika ini, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X