Jumaat, 30 Ogos 2019 | 6:05pm
KETUA Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Diculik rakan senegara gara-gara tidak agihkan wang penipuan

GOMBAK: Seorang lelaki warga Nigeria diculik rakan senegaranya sendiri gara-gara tidak mengagihkan wang hasil penipuan (scammer) berjumlah $49,000 (RM206,559), pada 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata pihaknya menerima maklumat daripada seorang individu yang juga warga Nigeria memaklumkan mangsa dilarikan enam lelaki warga negara sama menaiki dua kereta jenis Honda City di Taman Bolton Industrial Park, dekat Batu Caves.

Katanya, hasil risikan dan maklumat pihaknya kemudian membuat serbuan di sebuah hotel, dua hari kemudian di kawasan Mahkota Cheras dan menyelamatkan mangsa berusia 32 tahun yang dikurung dalam bilik hotel berkenaan.

“Dalam serbuan itu, tangkapan turut dibuat ke atas tiga lelaki Nigeria dan seorang wanita Nigeria.

“Soal siasat terhadap suspek kemudian membawa kepada penahanan dua lagi warga Nigeria di Selayang dan merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah kereta Honda City bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Samsor berkata, siasatan lanjut mendapati motif mangsa diculik adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang tidak memberikan wang hasil Love Scam kepada mereka.

Katanya, semakan turut mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen, manakala mangsa masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.

“Tujuan mereka menculik mangsa adalah untuk mendapatkan bahagian hasil wang scammer.

“Semua suspek berusia 21 hingga 35 tahun itu direman sehingga hari ini dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan polis berjaya menumpaskan ‘Kumpulan Country Homes’ yang aktif menjalankan kegiatan samun dan pecah rumah sekitar Bandar Country Homes, Rawang susulan tertangkapnya enam lelaki ahli kumpulan itu pada Isnin lalu.

Samsor Maarof berkata, tangkapan ke atas empat ahli kumpulan berusia 18 hingga 36 tahun itu dibuat menerusi beberapa serbuan di sekitar Rawang dan merampas 26 telefon bimbit dan 20 utas jam pelbagai jenama; empat komputer riba, tujuh botol minuman keras dan tiga kamera digital juga pelbagai jenama.

“Kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki dikenali dengan nama Jason.

“Siasatan mendapati, tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya, hasil samun itu kemudian akan dijual di kedai barangan terpakai serta kenalan mereka dengan harga RM100 hingga RM300 dengan wang itu akan digunakan untuk kegunaan harian selain membeli dadah.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan itu kini direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457, 395 dan 412 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X