Khamis, 29 Ogos 2019 | 6:02pm
KOMANDER Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Sandakan, hari ini. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
KOMANDER Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Sandakan, hari ini. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Rokok seludup lebih RM6 juta dirampas

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM6.02 juta dalam satu serbuan di kawasan sungai berdekatan Kampung Jepun, Batu 8, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, enam lelaki warga Filipina termasuk seorang remaja berusia 13 tahun yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan dicekup.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata serbuan dijalankan berdasarkan maklumat hasil risikan pihaknya sejak dua minggu lalu.

Katanya, ketika serbuan, kumpulan sindiket berkenaan dikesan sedang menjalankan aktiviti memunggah kotak rokok berkenaan ke dalam dua van dipercayai untuk diedarkan ke pasaran.

“Ketika serbuan dijalankan, semua suspek sedang sibuk menyusun kotak rokok dan dipercayai tidak menyedari kehadiran polis. Semua suspek ditahan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ribuan kotak rokok jenis Astro Merah dan Astro Hijau dipercayai diseludup ke negara ini untuk pasaran di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM6.07 juta selepas cukai termasuk dua van.

“Kita percaya semua enam suspek berusia lingkungan 13 hingga 56 tahun itu ahli sindiket penyeludupan rokok yang memiliki jaringan dari negara jiran.

“Tidak dinafikan wujud kegiatan penyeludupan ekoran terdapat permintaan tinggi terhadap rokok seludup di daerah ini. Namun, pihak PPM akan sentiasa meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang jenayah rentas sempadan seperti ini,” katanya.

Mohamad Pejeri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Berita Harian X