Khamis, 29 Ogos 2019 | 12:23pm
Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB membabitkan 21 tuduhan pengubahan wang haram dan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan dana RM 2.3 bilion. - Foto Eizairi Shamsudin

Pinda Laporan 1MDB: Mahkamah perintah percepat serah dokumen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan pendakwaan mempercepatkan proses serahan dokumen dan pernyataan saksi kes pindaan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zaini Mazlan memerintahkan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rozalina Zakaria memaklumkan bahawa pihak pendakwaan belum menyediakan senarai lengkap saksi dan pernyataan saksi bagi kes itu.

Mohamad Zaini mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyediakan dan melengkapkan kesemua dokumen berkaitan supaya dapat diserahkan dalam tempoh sebulan sebelum perbicaraan kes itu bermula.

Terdahulu, Rozalina memberitahu mahkamah terdapat penyataan saksi belum dimuktamadkan dan beberapa dokumen lain yang perlu diserahkan kepada pihak pembelaan.

Dalam prosiding itu, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N Sivananthan untuk Arul Kanda.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 November depan bagi tarikh pengurusan kes itu.

Pada 12 Disember lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan perlindungan daripada dikenakan tindakan tatatertib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, mengarahkan laporan itu yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi dirinya daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

Tuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan berkenaan daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pertuduhan terhadap Arul Kanda mengikut Seksyen 28(1)(c) SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama dan memperuntukkan hukuman sama.

Berita Harian X