Rabu, 28 Ogos 2019 | 9:40am
Seorang pemandu lori dan seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai berurusan jual beli LPG, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai cuba menyeleweng 40 tong gas petroleum cecair (LPG) di kawasan Sabah Fish Marketing (SAFMA), di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PPM
Seorang pemandu lori dan seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai berurusan jual beli LPG, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai cuba menyeleweng 40 tong gas petroleum cecair (LPG) di kawasan Sabah Fish Marketing (SAFMA), di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PPM

Dua lelaki dicekup seleweng LPG

Kota Kinabalu: Seorang pemandu lori ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai cuba menyeleweng 40 tong gas petroleum cecair (LPG) di kawasan Sabah Fish Marketing (SAFMA), semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 10 pagi itu, turut ditahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun dipercayai berurusan jual beli LPG dengan pemandu lori berusia 45 tahun itu.

Komander PPM Wilayah Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata hasil pemantauan terhadap sebuah lori di kawasan itu mendapati seorang lelaki tempatan sedang menunggu di dalam kenderaannya dan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin Kota Kinabalu di ruang penyimpanan bahagian belakang lori menemui 40 tong LPG dan turut ditahan juga seorang lelaki warga Pakistan yang sedang melakukan urus niaga dengan pemandu lori terbabit.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membolehkan sebarang transaksi penjualan, penyimpanan dan pemindahan tong Gas LPG dijalankan, “katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Mohamad Pajeri berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan dan semua muatan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Kes diserahkan kepada KPDNHEP dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan kawalan bekalan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pemantauan dan operasi itu bertujuan untuk mengenal pasti kegiatan penjualan gas LPG tanpa permit di sekitar kawasan pesisir pantai Kota Kinabalu.

Berita Harian X