Selasa, 27 Ogos 2019 | 5:39pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon.

296 kawasan pelupusan sampah haram dikesan di Johor Bahru

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 296 kawasan tanah terbiar dikenal pasti menjadi tapak pelupusan sampah haram di sekitar Bandar Raya Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon, berkata keadaan itu boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat berikutan tindakan pengendali yang membuat pembakaran terbuka bagi melupuskan sampah, sekali gus mencemarkan kualiti udara.

“Mengikut data yang dikumpulkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, terdapat 296 tapak pelupusan sampah haram di sekitar Johor Bahru sehingga kini dengan 46 daripadanya masih beroperasi.

“Walaupun tindakan penguatkuasaan sering dijalankan, masih ada pengendali pusat pelupusan sampah haram ini yang berdegil dan tidak mengendahkan undang-undang.

“Kebanyakan tapak pelupusan sampah haram berada di sekitar Johor Bahru termasuk Kempas, Kulai dan Taman Selesa Jaya berikutan terdapat pembangunan pesat di kawasan bandar raya ini dan memerlukan kawasan pembuangan sisa binaan.

“Namun, kerajaan negeri akan meningkatkan operasi penguatkuasaan berikutan tidak mahu ia menjadi kawasan pembakaran terbuka yang mencemarkan kualiti udara, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Operasi Bomba, di Balai Raya Kampung Tanjung Adang dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Chen Choon bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, melawat lokasi kebakaran hutan dan tanah pertanian di Kampung Pekajang di Gelang Patah, di sini.

Dalam pada itu, Chen Choon turut memberi amaran kepada pemilik tanah supaya memastikan tanah mereka tidak dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

“Pemilik tanah dikehendaki memantau keadaan tanah mereka kerana kebanyakan tanah kosong atau terbiar ini selalunya dijadikan tapak pelupusan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya berlaku (tapak pelupusan sampah haram) di atas tanah mereka (pemilik tanah) tindakan boleh diambil mengikut Kanun Tanah Negara,” katanya.

Berita Harian X