Selasa, 27 Ogos 2019 | 5:18pm

AATC nafi buang pelajar tanpa notis, rundingan

KUALA LUMPUR: Pusat Latihan Aeronautik Bersekutu (AATC) menafikan dakwaan kononnya membuang dua penuntutnya yang gagal menjelaskan yuran pengajian tanpa sebarang notis dan proses rundingan, baru-baru ini.

AATC, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan firma guamannya, Raj & Sach, hari ini memaklumkan dua penuntut terbabit gagal menjelaskan yuran pengajian walaupun tuntutan dibuat berulang kali, menjangkau tempoh lebih dua tahun.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit juga enggan menerima sebarang bentuk bantuan kewangan atau pinjaman pengajian yang disediakan AATC atau mendapatkan bantuan kewangan lain.

“Mereka sebaliknya menubuhkan kesatuan pelajar secara haram selain menganjurkan tunjuk perasaan terhadap AATC kononnya gagal memberikan bantuan pinjaman, khususnya daripada kerajaan untuk mereka.

“Pinjaman pembiayaan pengajian daripada kerajaan untuk pelajar AATC tidak lagi diperuntukkan. Justeru, pusat latihan tidak sewajarnya dipersalahkan dalam hal ini.

“Perlu ditekankan bahawa AATC adalah pusat latihan yang tidak tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pendidikan dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“AATC bukan universiti atau kolej, sebaliknya pusat latihan kendalian sektor swasta yang diperakui Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dua pelajar pusat latihan berkenaan perlu mengikut peruntukan perundangan AATC termasuk bagi menubuhkan sebarang kesatuan pelajar, yang memerlukan kelulusan awal.

Bagaimanapun, katanya, kesatuan pelajar yang ditubuhkan seperti didakwa penuntut berkenaan tidak mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS), manakala demonstrasi bantahan di hadapan AATC itu tidak mendapat kebenaran polis.

“Oleh kerana itu, dua penuntut yang mengetuai kesatuan haram ini dan demonstrasi berkenaan dibuang dari AATC.

“Sehingga kini, AATC teguh dengan pendirian bahawa keputusan membuang dua pelajarnya dibuat mengikut dasar dan perundangan berkaitan berbanding tuduhan kononnya pusat latihan ini menganiaya pelajar,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, polis mengesahkan menahan tujuh pelajar AATC termasuk seorang wanita serta seorang aktivis sebuah parti politik kerana cuba menghalang tindakan polis untuk menyuraikan demonstrasi yang disertai lebih 50 penuntut pusat latihan berkenaan.

Demonstrasi yang diadakan di hadapan bangunan AATC di Pusat Perniagaan NZX, Ara Damansara bermula sekitar jam 3 petang bagi membantah tindakan pusat latihan itu membuang dua penuntutnya yang gagal menjelaskan yuran pengajian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan sepasukan anggota polis ke lokasi untuk menjalankan pemantauan sebelum mengarahkan semua penuntut yang berhimpun supaya bersurai.

Bagaimanapun, katanya kumpulan penuntut berkenaan enggan mengikut arahan, sebaliknya ada sebahagian daripada mereka bertindak agresif terhadap anggota polis.

Kesemua yang ditahan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Difahamkan, lapan individu berusia antara 20 hingga 26 tahun yang ditahan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 9.30 malam sebaik keterangan mereka selesai diambil.

Berita Harian X