Selasa, 27 Ogos 2019 | 4:44pm
Anismalina Jamaludin. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki, sebuah lori membawa muatan tong gas LPG dan dua motosikal di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran R&R Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki, sebuah lori membawa muatan tong gas LPG dan dua motosikal di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran R&R Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Orang ramai membantu memindahkan tong gas LPG yang terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tangki, sebuah lori membawa muatan tong gas LPG dan dua motosikal di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran R&R Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Mangsa sempat telefon beritahu motosikal terbabas

SEREMBAN: Pembonceng, Anismalina Jamaludin, 20, sempat menghubungi bapa Mohammad Idham Baharudin, 20, untuk memaklumkan motosikal ditunggang mereka terbabas di Kilometer 269.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, malam tadi, sebelum kedua-duanya maut dirempuh lori.

Baharudin Mohd Isa, 59, berkata Anismalina menghubunginya kira-kira jam 9.30 malam dan memaklumkan Mohammad Idham cedera serta luka di beberapa bahagian anggota badan selepas motosikal terbabit hilang kawalan.

Baharudin berkata, beliau yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel di daerah ini ketika kejadian, menasihati Anismalina agar segera menghubungi pihak ambulans.

“Saya kemudian meminta kebenaran keluar sebentar daripada majikan pada jam 10 malam untuk ke lokasi kejadian dan melihat keadaan Mohammad Idham.

“Ketika hampir tiba, keadaan jalan sesak dan sukar untuk saya ke lokasi itu. Saya terus menghubungi telefon Mohammad Idham, namun ia dijawab orang tidak dikenali yang memaklumkan anak sudah meninggal dunia.

“Setiba di lokasi, saya nampak mayat Mohammad Idham dan Anismalina ditutup dengan plastik sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Baharudin berkata, kejadian berlaku ketika anak keenam daripada tujuh beradik itu bersama Anismalina sedang dalam perjalanan dari Senawang ke Banting.

Dalam nahas berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban itu, Mohammad Idham, Anismalina dan pemandu lori simen, V Ravendran, 26, terkorban, manakala dua lagi mangsa cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, terdahulu dilaporkan sebagai berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Mohammad Idham dan dibonceng Anismalina, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan.

Kedua-dua mangsa cuba dibantu seorang penunggang motosikal dan pemandu lori membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) yang kemudian berhenti di lorong kecemasan.

“Bagaimanapun, sebuah lori simen melanggar lori itu menyebabkan ia bergerak ke hadapan dan merempuh kesemua empat mangsa, manakala muatan LPG pula berterabur di atas jalan,” kata Ibrahim.

Berita Harian X