Isnin, 26 Ogos 2019 | 12:16pm
HUJAN lebat memadam kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram, sekali gus menghilangkan kesan asap akibat jerebu berpunca daripada kebakaran terbabit. - Foto Kandau Sidi
HUJAN lebat memadam kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram, sekali gus menghilangkan kesan asap akibat jerebu berpunca daripada kebakaran terbabit. - Foto Kandau Sidi

Jerebu Miri reda akibat hujan

MIRI: Jerebu yang berlaku akibat kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram, utara Sarawak, lebih sebulan lalu berakhir susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Hujan lebat memadamkan kebakaran hutan paya gambut sepanjang Jalan Kuala Baram menuju ke Jambatan ASEAN, sekali gus menghilangkan kesan asap akibat jerebu berpunca daripada kebakaran terbabit.

Walaupun kebakaran hutan itu sudah reda, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri masih berada di lokasi kebakaran untuk memantau situasi berkenaan.

Tinjauan NSTP mendapati tiada asap kelihatan di kawasan yang hutan yang terbakar, sekali gus membuktikan api sudah padam sepenuhnya akibat hujan lebat.

Namun, jurucakap JBPM berkata, pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk mengelak bencana alam semulajadi itu berulang lagi sehingga menyusahkan orang awam.

Beliau berkata, kebakaran hutan berkenaan masih boleh berlaku jika cuaca panas dan terdapat api di bawah tanah belum padam.

“Justeru, kita memantau kebakaran hutan paya gambut di Miri secara serius dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin berharap kebakaran hutan paya gambut di Miri tidak berulang kerana ia menjejaskan aktiviti harian penduduknya.

“Berhenti melakukan pembakaran yang boleh mengakibatkan kebakaran hutan ketika cuaca panas seperti sekarang,” katanya.

Lebih 1,000 hektar kawasan hutan paya gambut di Miri terbakar dan mengakibatkan jerebu sejak bulan lalu.

Berita Harian X