Ahad, 25 Ogos 2019 | 9:19am

Warga emas ditipu 'Inspektor Yong'

TEMERLOH: Seorang pesara sebuah syarikat penghantaran di sini, mendakwa kerugian RM67,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa wanita berusia 69 tahun menerima panggilan daripada suspek memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Yong' dari balai polis di ibu negara dan memaklumkan mangsa sedang disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram dan perjudian.

"Suspek kemudian meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikan untuk dihantar ke Bank Negara bagi tujuan siasatan.

"Mangsa turut ditunjukkan surat perintah yang kononnya dikeluarkan Mahkamah Kuala Lumpur bagi pihak polis menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa turut bercakap dengan dua lagi suspek menyamar sebagai ‘Koperal Mazlan’ dan ‘Inspektor Moktar’ yang memberikan tekanan dan menakutkan-nakutkan mangsa.

“Suspek berjanji akan memulangkan wang milik mangsa selepas siasatan selesai.

"Mangsa kemudiannya membuat beberapa kali pindahan wang kepada dua akaun berlainan diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan RM67,000.

"Mangsa menceritakan perkara itu kepada anaknya semalam dan anaknya itu terus membawa ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh untuk membuat laporan polis selepas disyaki ditipu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X