Jumaat, 23 Ogos 2019 | 9:44am

Warga emas rugi RM35,600 terperdaya hadiah cabutan bertuah

KOTA KINABALU: Impian seorang lelaki warga emas untuk memiliki kereta Perodua Myvi melalui hadiah cabutan bertuah bukan sahaja lebur, malah diperdaya dua jurujual sehingga kerugian wang simpanan RM35,600.

Susulan kejadian di Pitas, kedua-dua suspek berusia 21 dan 43 tahun ditahan di daerah itu pada jam 3.15 petang Selasa lalu selepas mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Superintendan G Moses Govindarajoo, berkata berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari 6 Ogos lalu apabila mangsa berusia 69 tahun dikatakan membeli produk kesihatan daripada dua suspek terbabit.

“Mangsa dimaklumkan memenangi hadiah cabutan bertuah kereta Perodua Myvi. Disebabkan percaya, mangsa dikatakan memberi wang sebanyak RM35,600 melalui transaksi bank dan secara tunai.

“Namun, mangsa tidak menerima hadiah itu sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Moses berkata, kedua-dua lelaki tempatan yang ditahan mengaku bekerja sebagai jurujual dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran dan cabutan bertuah ditawarkan pihak tertentu.

“Ini bagi mengelak daripada ditipu dan mengalami kerugian wang ringgit,” katanya.

Berita Harian X