Jumaat, 23 Ogos 2019 | 9:00am
Keadaan kereta Perodua Kancil yang bertembung dengan lori kargo di Kilometer 52, Jalan Sri Aman- Sarikei. - Ihsan Bomba

4 maut, 2 parah kereta tembung lori

BETONG: Empat lelaki maut, manakala dua lagi parah apabila kereta Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung dengan lori kargo di Kilometer 52 Jalan Sri Aman-Sarikei, awal pagi tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam nahas jam 1.50 pagi ialah pemandu kereta terbabit, Mixzezly Herry, dan tiga penumpangnya, Roman Ensalit, Agustine Rentap Didi serta Dunstan Empawie.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata semua mangsa berasal dari Engkelili itu berusia antara 19 hingga 29 tahun.

Beliau berkata, dua lagi penumpang kereta berkenaan, Hail Sumping, 41, parah di bahagian kepala, dan Larry Jelapang, 26, patah kaki kanan.

“Kejadian berlaku apabila lori kargo dari arah Sri Aman menghala ke Sibu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki enam mangsa yang dalam perjalanan ke Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata, mayat kemudian dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut, sementara dua mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 51 tahun bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes itu kini dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Lokasi kejadian adalah laluan lurus tetapi gelap,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pula berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi kemalangan sebaik saja menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan.

“Setiba di lokasi, dua lelaki didapati tersepit di tempat duduk hadapan Perodua Kancil, manakala empat lagi tersepit di bahagian belakang.

“Pemandu dan penumpang bahagian hadapan serta dua penumpang di belakang didapati tidak sedar sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Berita Harian X