Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:05pm
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim. - NSTP/Adi Safri

Polis nafi kejadian culik di Tongkang Pechah

BATU PAHAT: Polis menafikan kejadian cubaan culik di sebuah sekolah rendah di Tongkang Pechah di sini, yang menjadi tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata siasatan pihaknya mendapati gambar seorang lelaki ditahan orang awam yang menjadi tular itu tiada kaitan dengan kes culik.

“Kita menyiasat dakwaan kejadian cubaan culik yang menjadi tular itu termasuk mengunjungi sekolah terbabit, namun mendapati perkara itu tidak benar.

“Gambar lelaki yang ditangkap oleh orang ramai yang didakwa sebagai suspek dalam cubaan culik itu sebenarnya adalah suspek bagi kes curi motosikal di kawasan Tongkang Pechah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Gambar lelaki terbabit yang dikaitkan dengan cubaan culik di sebuah sekolah di Tongkang Pechah menjadi tular selepas disebarkan dalam beberapa kumpulan laman Facebook sejak semalam.

Berita Harian X