Rabu, 21 Ogos 2019 | 1:50pm
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner, Paul Khiu Khon Chiang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner, Paul Khiu Khon Chiang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

PPM rampas rokok seludup lebih RM 178,000

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,350 karton rokok seludup bernilai lebih RM178,000 di sebuah premis di Kampung Permatang Duku, Benut, di Pontian dekat sini.

Dalam serbuan jam 8.15 malam tadi, semua rokok dipercayai diseludup dari negara jiran.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata pihaknya juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai pemilik premis.

“Pemeriksaan di dalam premis menemui sejumlah kotak berwarna coklat dan berlabel dipercayai rokok tidak sah dari jenis rokok putih dan kretek.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 1,350 karton rokok putih dan kretek yang dianggarkan bernilai RM 178,890, termasuk cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.

Khon Chiang berkata, rokok terbabit disyaki untuk pasaran tempatan.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua Tampoi dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“PPM Wilayah Dua amat komited dalam menangani isu pengedaran dan penjualan rokok tidak sah di pasaran dan akan meneruskan operasi terhadap rangkaian penjualan dan pengedaran rokok tidak sah di Johor.

“Masyarakat diminta menyalurkan maklumat kepada PPM di talian 07-2372221 atau 07-2372222,” tambahnya.

Berita Harian X