Rabu, 21 Ogos 2019 | 12:27am
Nora Anne Quoirin.

Polis Negeri Sembilan buat laporan kenyataan peguam Ireland

SEREMBAN: Laporan polis dibuat berhubung kenyataan seorang peguam Ireland yang mendakwa keluarga Nora Anne Quoirin terbabit dalam kehilangan dan kematian remaja itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata laporan itu dibuat oleh pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada jam 6 petang kelmarin, selepas Anne Brennan yang juga aktivis kanak-kanak membuat kenyataan itu di laman sosial Facebook miliknya.

“Laporan polis itu dibuat kerana ia jelas satu fitnah terhadap pasukan polis yang kini masih menjalankan siasatan berkenaan kes itu.

“Ia akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad berkata, kenyataan dibuat peguam terbabit jelas tidak benar dan mempunyai niat jahat.

“Siasatan masih dijalankan. Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat olehnya,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook itu, Anne Brennan mendakwa keluarga Nora Anne cuba melakukan ‘segala-galanya dalam kuasa mereka untuk mengenepikan proses keadilan’.

Peguam itu mendakwa, tindakan keluarga itu yang memaklumkan mereka akan meninggalkan Malaysia bersama mayat Nora Anne juga sangat mencurigakan.

Dia turut mendakwa, ibu bapa Nora Anne meninggalkan negara ini selepas mendapat jaminan mereka tidak akan disiasat polis atas kehilangan dan kematian remaja itu.

Selain itu, dia turut mendakwa keluarga itu menyakinkan pihak berkuasa untuk meninggalkan siasatan pembunuhan dan melepaskan mayat tanpa mengeluarkan laporan forensik dan toksikologi yang diperlukan.

Anne Brennan turut mendakwa keluarga itu berusaha menutup kejadian sebenar dengan turut tidak memberi keterangan mengenai pergerakan mereka untuk tempoh 24 jam sebelum anak mereka hilang.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak 4 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui selepas 10 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) diadakan.

Mayat remaja itu ditemui pada jam 1.57 tengah hari pada 13 Ogos lalu, di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang.

12042 dibaca
Berita Harian X