Selasa, 20 Ogos 2019 | 4:07pm
PESAWAT Bombadiar CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritiam Malaysia (APMM) memadamkan kebakaran di hutan paya gambut yang terbakar di Kuala Baram, Miri. - Foto Kandau Sidi
PESAWAT Bombadiar CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritiam Malaysia (APMM) memadamkan kebakaran di hutan paya gambut yang terbakar di Kuala Baram, Miri. - Foto Kandau Sidi

Lebih 1,000 hektar hutan terbakar sejak Ogos

MIRI: Sejumlah 1,248 hektar hutan paya gambut terbakar di utara Sarawak sehingga mengakibatkan jerebu sejak Ogos lalu.

Kebakaran itu bagaimanapun membabitkan keluasan jauh lebih kecil berbanding 2,500 hektar hutan paya gambut di lokasi sama dijilat api pada 2016

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Lau Poh Kiong, berkata kebakaran hutan berlaku ketika ini secara umumnya semakin terkawal selepas operasi pengeboman air menggunakan pesawat Bombadier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritiam Malaysia (APMM) dijalankan, tiga hari lalu.

“Pengeboman air menggunakan pesawat itu akan diteruskan sehingga kebakaran di Kuala Baram dipadamkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pesawat berkenaan akan memfokus usaha memadamkan kebakaran di lokasi terletak jauh daripada akses jalan raya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh, berkata sejuta liter air sudah disimbah menggunakan pesawat Bombadier CL-415 sejak tiga hari lalu.

Katanya, operasi sama akan diteruskan sehingga api yang menjilat kawasan hutan berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Beliau berkata, operasi pengeboman air di kawasan kebakaran di Kuala Baram dilakukan dua kali sehari, iaitu pada awal pagi dan petang.

“Pesawat akan mengambil air dari Sungai Baram untuk dilepaskan di kawasan hutan paya gambut yang terbakar di lokasi berhampiran,” katanya.

Berita Harian X