X
Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:22pm
Peralatan mengebom ikan yang dirampas polis. - Ihsan IPD Kunak
Peralatan mengebom ikan yang dirampas polis. - Ihsan IPD Kunak
Tiga lelaki suku Palauh yang ditahan polis kerana disyaki memiliki peralatan mengebom ikan dan penyalahgunaan dadah, menerusi Ops Sarang Bersepadu di Kampung Pangkalan, Kunak. - Ihsan IPD Kunak
Tiga lelaki suku Palauh yang ditahan polis kerana disyaki memiliki peralatan mengebom ikan dan penyalahgunaan dadah, menerusi Ops Sarang Bersepadu di Kampung Pangkalan, Kunak. - Ihsan IPD Kunak

Tiga lelaki ditahan miliki bom ikan

KUNAK: Tiga lelaki dari suku Palauh ditahan dalam operasi khas, Ops Sarang Bersepadu di Kampung Pangkalan, di sini awal pagi semalam selepas didapati memiliki peralatan mengebom ikan dan terbabit penyalahgunaan dadah.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 25 tahun itu ditahan dalam sebuah di sebuah rumah di perkampungan atas air itu kira-kira jam 2.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir, berkata hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan bekas plastik mengandungi lima botol kaca, dengan setiap satu berisi serbuk putih bersama sumbu disyaki bom ikan.

“Turut ditemui dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.42 gram, selain penyedut minuman yang sudah diubahsuai disembunyikan dalam sebuah beg,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk tindakan lanjut.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Berita Harian X