Jumaat, 16 Ogos 2019 | 4:16pm
ANGGOTA Polis berkawal di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ). - Foto BERNAMA
ANGGOTA Polis berkawal di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ). - Foto BERNAMA

Keluarga buat persiapan bawa pulang mayat Nora Anne

SEREMBAN: Keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, kini sedang membuat persiapan untuk membawa mayat anak mereka pulang ke United Kingdom.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ahli keluarga kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam pertemuan yang diadakan secara tertutup pagi tadi.

“Malaysia dan kedutaan Ireland serta Perancis akan bekerjasama untuk melaksanakan prosedur itu (membawa pulang mayat Nora Anne),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bercerita mengenai pertemuan kira-kira 15 minit pada jam 11.15 pagi tadi, Nicole berkata, Dr Wan Azizah meluahkan rasa sedih sehingga menitiskan air mata ketika perjumpaan itu berlangsung.

“Kak Wan (Dr Wan Azizah) rasa amat sedih dan terus meminta kebenaran memeluk kedua-dua adik Nora Anne iaitu Innes Julia dan Maurice Arthur.

“Selepas itu, kami duduk di sofa untuk berbincang. Ibu Nora Anne, Meabh diapit oleh Kak Wan dan saya,” katanya yang enggan mendedahkan butiran perbincangan yang diadakan.

Katanya, dalam pertemuan itu Dr Wan Azizah sempat memaklumkan kepada Meabh bahawa kira-kira 400 anggota pasukan keselamatan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne, sebelum remaja itu ditemui tidak bernyawa.

Beliau berkata, Wan Azizah turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan itu sebelum mereka menamatkan pertemuan itu.

Berita Harian X