Khamis, 15 Ogos 2019 | 6:04pm

Dipukul hanya kerana terlanggar cermin sisi kereta

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun cedera dipercayai dipukul lapan individu selepas terlanggar cermin sisi sebuah kereta di kawasan parkir hadapan sebuah restoran, di Jalan Sutera Taman Sentosa, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata siasatan awal mendapati, pada jam 11 malam itu, lelaki berkenaan yang juga seorang peniaga sedang memandu keretanya di Jalan Sutera berhadapan sebuah restoran sebelum terlanggar cermin sisi sebuah kereta lain.

Katanya, pemilik kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun kemudian marah dan datang bersama tujuh lagi individu lain.

“Suspek mengetuk kereta mangsa dengan kayu hingga mangsa keluar dari kenderaannya. Suspek kemudian bersama individu yang lain dipercayai memukul mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai bersama isteri dan seorang anak lelakinya berada di dalam kereta untuk mencari kedai makan di sekitar Taman Sentosa.

“Suspek dikatakan tidak berpuas hati terhadap mangsa yang melanggar cermin sisi keretanya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, insiden itu bagaimanapun dileraikan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang ketika itu melakukan rondaan kawasan.

Berikutan itu, katanya, polis menahan seorang suspek, manakala tujuh individu lain melarikan diri.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X